• 1
  • 2
  • 3
Sunday, August 25, 2019

PROGRAM IBADAH QURBAN DAN AQIQAH PERINGKAT UPNM 1440H/2019M

14 Ogos 2019 (RABU) – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) turut tidak melepaskan peluang mengadakan Program Ibadah Qurban dan Aqiqah Peringkat UPNM 1440H/2019M iaitu bersamaan dengan hari tasyrik yang ketiga, 13 Zulhijjah 1440H. Program ini dianjurkan oleh Pusat Islam UPNM sempena menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha pada 11 Ogos 2019 yang lalu.

Acara simbolik penyerahan pisau sembelihan oleh YBhg. Leftenan Jeneral Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Jalal, Naib Canselor UPNM kepada Pengarah Pusat Islam menjadi perasmian bermulanya aktiviti sembelihan binatang qurban. Sebanyak 10 ekor lembu dan 2 ekor kerbau telah dikorbankan bagi tujuan ibadah qurban dan aqiqah.

Program ini melibatkan seluruh FPJB di UPNM dan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) sebagai ahli jawatankuasa program. Antara jawatankuasa yang disenaraikan adalah jawatankuasa menumbang & melapah, pengumpulan daging, pemotongan tulang, pemotongan daging, pembungkusan & agihan daging, pembersihan perut lembu & keselamatan, logistik, perubatan, kenderaan, dan pengurusan pelajar. Warga Jabatan Pendaftar turut melibatkan diri sebagai jawatankuasa pemotongan daging pada program kali ini.

Aktiviti diteruskan dengan pengagihan daging qurban kepada peserta qurban, jawatankuasa program dan staf yang hadir bagi membantu kelancaran majlis. Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengah hari tepat jam 12 tengah hari.

Terima kasih diucapkan kepada seluruh warga UPNM dan ALK yang hadir bagi memastikan program dapat dijalankan dengan sempurna. Semoga usaha tersebut dibalas dengan ganjaran berlipat ganda oleh Allah SWT.