Pejabat Pendaftar UPNM

PUTRAJAYA,14 Nov – Seramai 740 graduan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menerima Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah masing-masing sempena Majlis Konvokesyen UPNM kali ke-9 yang berlangsung pada 14 November 2018 bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

Terdahulu, Pro Canselor UPNM, Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim, berkenan menyempurnakan perasmian majlis konvokesyen. Turut hadir Pro Canselor UPNM, Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Ghazali Mohamed Seth, Pengerusi Lembaga Universiti, Tan Sri Dr. Syed Azman bin Syed Ibrahim dan ahli-ahli LPU, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Haji Zulkifli Bin Haji Zainal Abidin dan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Seramai 740 graduan yang menerima ijazah, pecahan penerima adalah 16 orang penerima Doktor Falsafah, 42 orang penerima Sarjana, 524 orang penerima Ijazah Sarjana yang terdiri daripada 261 pegawai kadet dan 263 graduan awam dan 158 orang penerima Diploma. Majlis konvokesyen itu telah diadakan dalam satu sidang. UPNM juga turut menganugerahkan Hadiah Akademik kepada 26 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 6 graduan diploma.

Sementara itu. 2 orang penerima Anugerah Pelajaran Diraja telah dipilih antara 524 penerima ijazah dimana kriteria pemilihan berdasarkan pencapaian akademik dan penglibatan dan aktiviti kokurikulum. Sarah Nur Ain Omar,22, graduan ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia antara penerima Anugerah Pelajaran Diraja dan Muhammad Sheikh Al Sy’Aidi Mohammad Ali,22, graduan ijazah Sarjana Muda Teknologi Maritim turut menerima anugerah yang sama.

Di samping itu, penerima tunggal Anugerah Pingat Emas Canselor, Anisah Mat Rani,22, mengambil program Bahasa dan Komunikasi Silang Budaya berkata pemilihan UPNM bagi melanjutkan pelajaran memberi keyakinan dan lebih mengamalkan sikap berdisplin dalam diri.