Pejabat Pendaftar UPNM

Sesi Lawatan Penandaarasan ke Pejabat Pendaftar UPM
 
28 Jun 2024 (Jumaat)
Delegasi UPNM yang terdiri daripada 12 orang Pegawai Pejabat Pendaftar telah membuat Sesi Lawatan Penandaarasan ke Pejabat Pendaftar UPM pada 28 Jun 2024 yang lepas. Tujuan sesi lawatan ini adalah untuk mendapatkan informasi berkaitan amalan dan praktis pengurusan sumber manusia di UPM secara keseluruhan di samping membina jaringan hubungan sosial dengan pihak UPM.
 
Sesi lawatan ini dimulakan dengan taklimat pengenalan oleh Encik Hisyamuddin Hashim, Ketua Bahagian Pembangunan Sumber Manusia sebagai wakil UPM. Beliau memberikan gambaran keseluruhan struktur dan fungsi setiap bahagian Pejabat Pendaftar UPM. Kemudian, delegasi UPNM berpecah dan dibawa ke agihan bilik perbincangan yang berlainan bagi membincangkan lebih khusus topik mengikut portfolio masing-masing. Antara topik perbincangan adalah melibatkan skop governan, pengurusan sumber manusia, perkhidmatan, dan juga skop pembangunan sumber manusia.
 
Sesi lawatan ini berakhir dengan sesi rumusan dan penutup di bilik perbincangan utama, di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalin kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan. Delegasi UPNM merumuskan bahawa lawatan penandaarasan ini memberikan perkongsian dan inspirasi yang berguna untuk memperbaiki proses kerja di UPNM.